Kerjaya kelab Eric Gerets

Liège

Gerets memulakan kerjayanya dengan bermain sebagai amatur di AA Rekem sebelum menyertai pemegang juara, Standard Liège. Beliau membuat debut pada 16 April 1972 pada perlawanan menentang FC Diest. Pada musim 1972-73, Standard melangkah ke perlawanan akhir piala nasional. Namun, pasukannya tewas 1-2 kepada Anderlecht. Pada musim berikutnya, Gerets menggantikan Jacques Beurlet dan menjadi pilihan pertama bek kanan untuk pasukan Standard.

Pada 1980an, pemain-pemain generasi baru kini bertapak di Standard. Pemain-pemain seperti Arie Haan, Guy Vandersmissen, Michel Preud'homme, Walter Meeuws, Jos Daerden dan Simon Tahamata menjadi kunci pemain manakala Gerets menjadi kapten pasukan. Pada tahun 1980, Standard menjadi naib juara liga sebelum menjuarai Piala Nasional 1981 ke atas Lokeren SC. Pada 1982, Standard bertemu FC Barcelona pada perlawanan akhir Piala Juara-Juara Eropah namun mereka tewas 2-1. Selepas itu, beliau dianugerahkan Kasut Emas Belgium pada hujung tahun. Pada tahun berikutnya, beliau mengetuai pasukan Standard untuk menjulang trofi liga buat kali kesembilan.

PSV

Pada 1985, Gerets sertai kelab PSV di Belanda. Beliau bermain bersama-sama Ruud Gullit, Frank Arnesen, Huub Stevens dan Willy van de Kerkhof diikuti bintang Brazil, Romário. Pada 1986, Gerets menjuarai gelaran liga bersama PSV. Selepas pemergian Gullit pada 1987, Gerets menjadi kapten pasukan PSV. Di bawah pengurusan Guus Hiddink, PSV menjuarai liga dan piala selama tiga tahun berturut-turut. Pada 1988, PSV melangkah ke perlawanan akhir Piala Eropah menentang Benfica. Selepas 120 minit perlawanan terikat seri 0-0, PSV akhirnya menang pada penentuan penalti.

Pada 1990, selepas Hiddink meninggalkan PSV, Gerets menjuarai dua gelaran bersama PSV. Beliau mengumumkan persaraan pada penghujung musim 1991-92 semasa berumur 37 tahun.